
Beliau berkata, keputusan itu merupakan hak demokratik yang harus dihormati, sekali gus mencerminkan keunikan dan dinamika politik sihat di Sabah.
“Bagi saya tiada masalah dan inilah dinamika politik di Sabah. Kedua-dua individu berkenaan kini secara rasmi adalah calon PKR dan bukan lagi mewakili Gagasan Rakyat.
“Kami sudah pun melepaskan mereka. Apa lagi yang boleh dilakukan? Itu hak mereka dan kita menghormatinya. Kita tidak boleh menghalang kerana itu sebahagian daripada demokrasi,” katanya dalam kenyataan.
“Mereka memilih bertanding atas tiket PKR. Secara kebetulan, PKR juga merupakan rakan gabungan dalam kerajaan.”
Mengulas lanjut, Hajiji yang presiden Gagasan Rakyat, berkata parti itu tetap menyokong mereka sebagai calon komponen kerajaan perpaduan.
“Jadi, biarlah begitu. Kita tetap akan memberikan sokongan kerana mereka adalah calon Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Semalam, PKR mengumumkan calonnya yang akan bertanding di 10 kerusi pada PRN17, antaranya bekas pemimpin GRS, George Hiew, yang bertanding mempertahankan kerusi Karamunting yang disandang dua penggal.
Ia juga termasuk bekas Adun Kemabong, Jamawi Jaafar bagi DUN Melalap.