Pembangkang akan tolak RUU IPCMC jika kerajaan bentang

Pembangkang akan tolak RUU IPCMC jika kerajaan bentang

Semalam kerajaan berkata, RUU IPCMC yang ditambah baik, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi pendengaran awam yang diadakan berhubung RUU IPCMC tidak mengambil peduli atau memasukkan pendapat dan bantahan polis, pakar undang-undang dan orang awam lain.
KUALA LUMPUR:
Blok pembangkang akan menolak usul Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sekiranya ia dibentangkan oleh kerajaan.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun ada sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, tetapi ia hanya bagi “mencukupkan syarat” dan merupakan “lakonan” semata-mata.

“Ini kerana segala pendapat, cadangan dan bantahan daripada pelbagai pihak, terutama wakil polis dan orang awam tidak diambil peduli atau dimasukkan ke dalam syor atau cadangan jawatankuasa.

“Malah pandangan daripada pakar perundangan perlembagaan yang berpendapat IPCMC bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak diambil kira,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Blok pembangkang diwakili oleh Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Semalam kerajaan berkata, RUU IPCMC yang ditambah baik, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, memaklumkan perkara itu selepas mengemukakan Laporan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC kepada semua ahli Parlimen.

Pada 7 Oktober lepas, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan lagi kandungannya, termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.

Dalam pada itu Ismail berkata, keadaan ini jelas menunjukkan kerajaan hanya mahu memberi tekanan dan bersikap tidak adil terhadap anggota polis serta tidak mengambil berat hak dan kepentingan mereka.

Beliau juga mendakwa kerajaan bersikap terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu undang-undang.

“Kami berpendapat kebajikan pihak polis mesti diberikan keutamaan, seperti menaik taraf balai serta pondok polis, keselesaan pejabat, kenderaan, perumahan anggota polis demi keluarga mereka dan lain-lain.

“Blok pembangkang berpendapat anggota polia yang berjumlah hampir 150,000 orang itu perlu diberi sokongan, bukannya laksanakan undang-undang yang menekan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan kebajikan anggota polis.

Beliau yang mewakili 18 ahli Parlimen PAS berkata, parti itu akan menolak RUU IPCMC.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri yang mewakili GPS berkata, beliau bersama-sama rakan-rakan BN dan PAS turut serta menolak RUU IPCMC.

Beliau berkata, RUU IPCMC tidak harus diterima kerana di Sarawak misalnya kebajikan anggota polis perlu ditambah baik terlebih dahulu.

“Banyak lagi pondok polis di Sarawak yang perlu dipertingkatkan kualitinya atau dibina baru,” kata beliau.

RUU IPCMC dibentang buat pertama kali di Dewan Rakyat pada 18 Julai dan bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan polis.

IPCMC akan berperanan sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan berkaitan salah laku anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.