Sidang lama buat ahli Parlimen penat, kata Johari selepas bajet kementerian hampir ditolak

Sidang lama buat ahli Parlimen penat, kata Johari selepas bajet kementerian hampir ditolak

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, wakil rakyat menjadi tidak produktif kerana mempunyai banyak program berjalan pada masa sama.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kepenatan kerana sidang Dewan Rakyat berlarutan sehingga lewat malam, kata Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Johari Abdul mengenai prosiding semalam yang menyaksikan Belanjawan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hampir ditolak kerana kekurangan wakil rakyat kerajaan dalam dewan.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, wakil rakyat kadangkala balik rumah pada tengah malam.

“Biasanya semasa sesi bahas Belanjawan 2020, kita selesai lewat (10 malam hingga 11 malam). Pada saat kami sampai rumah sudah 12 tengah malam dan ketika anda mengatakan ‘hi’ kepada keluarga anda sudah sekitar 1.30 pagi.

“Kadang-kadang kita bangun sedikit lewat untuk sesi pagi. Kami penat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, beberapa ahli Parlimen pembangkang menggesa undi belah bahagi ke atas belanjawan kementerian itu, yang akan membolehkan mereka menolaknya kerana jumlah mereka lebih ramai.

Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen PH masuk ke dewan selepas speaker membunyikan loceng untuk undi belah bahagi yang menyaksikan 32 ahli Parlimen menyokong berbanding 28 yang menolak.

Johari berkata, perbincangan perlu diadakan dengan speaker untuk memastikan ahli Parlimen mempunyai masa kualiti.

Ini kerana, katanya, ahli Parlimen menjadi tidak produktif di Dewan Rakyat kerana mempunyai banyak program berjalan pada masa sama.

“Saya yang pertama tiba dan saya yang terakhir balik. Tetapi, saya tidak boleh melakukannya setiap hari selama 3 tahun lagi. Ada had untuk segala-galanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.