Polis siasat abu mayat Chin Peng dibawa masuk

Polis siasat abu mayat Chin Peng dibawa masuk

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Akta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.
KUALA LUMPUR:
Polis sedang menyiasat dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan juga dijalankan bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ini boleh timbulkan suasana tak harmoni, sebab itu kita siasat.

“Kita tengah siasat, macam mana boleh masuk. Jalan apa mereka bawa masuk,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk 2 bulan lalu dan ditabur ke laut serta di banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 Sept lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Huzir berkata Bukit Aman sedang bekerjasama dengan polis Perak untuk mengenal pasti tarikh dan cara abu mayat tersebut dibawa masuk ke negeri itu.

“Siapa yang bawa masuk kita dah tahu sebab artikel media dah beritahu siapa bawa masuk,” katanya.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan membawa mayat atau abunya pulang ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.