Putrajaya sedia pertimbang tubuh bank khas mudahkan proses pinjaman rumah

Putrajaya sedia pertimbang tubuh bank khas mudahkan proses pinjaman rumah

Tetapi, menteri kewangan berkata, cadangan itu perlu bersesuaian syarat ditetapkan BNM, iaitu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.

Lim Guan Eng berkata, lebih 3,100 permohonan untuk Dana Rumah Mampu Milik yang bernilai RM596 juta diluluskan sehingga 31 Okt lalu.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan penubuhan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman rumah mampu milik dan kos rendah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu bersesuaian syarat ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu bank seumpama itu perlu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.

“Cadangan akan diambil kira sekiranya BNM berasa perlu untuk membolehkan lebih banyak pinjaman berkaitan perumahan dapat dibiayai. Tetapi, kalau kita lihat trend yang diterima pakai BNM adalah kena pastikan bank itu dapat memainkan peranan sewajarnya.

“Bukan sekadar mempunyai dana atau modal, namun mampu menghadapi segala cabaran dalam pasaran, khususnya era digital,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan bank khusus untuk membiayai pinjaman perumahan bagi memberi peluang kepada golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, sebelum bank seumpama itu ditubuhkan, BNM perlu memastikan bank sedia ada di negara ini bersedia menghadapi pelbagai cabaran dari luar negara bagi memastikan kelangsungan fungsi dan peranan sebagai penyedia pinjaman.

Menjawab soalan asal Hassan, sejauh mana kemajuan dicapai BNM dalam membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah di negara ini memiliki rumah, Lim berkata, Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion ternyata memberi kesan positif sejak dilancarkan Januari lepas.

Beliau berkata, lebih 3,100 permohonan bernilai RM596 juta diluluskan sehingga 31 Okt lalu.

“Melalui dana ini, pembeli rumah pertama terutamanya golongan muda mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi lebih murah daripada pasaran semasa selama 40 tahun.”

Katanya, setiap pembeli rumah pertama perlu mempunyai pengetahuan kewangan bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan bayaran pembiayaan pada masa depan.

Beliau mahu bakal pembeli merujuk modul pendidikan dalam talian, portal Rumahku yang disediakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi membantu mereka memahami komitmen kewangan yang bakal dihadapi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.