
Timbalan Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Zairul Mohd Noor berkata, sejak diperkenalkan pada 2019, dasar itu masih berdepan isu ketidaksepadanan antara rumah ditawarkan dengan kemampuan sebenar rakyat, khususnya golongan B40.

“Perbezaan asas antara rumah kos rendah dan rumah mampu milik masih kabur dari segi pelaksanaan, agensi pelaksana dan kaedah pembiayaan.
“Keadaan ini menyebabkan dasar rumah mampu milik sukar mencapai matlamat sebenar,” katanya kepada FMT.
Justeru beliau mencadangkan pengasingan peranan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri sebagai langkah penyusunan semula bersandarkan kepada kekuatan masing-masing.
Menurutnya, langkah berkenaan mampu menjadikan sistem lebih cekap, terarah dan adil untuk rakyat.
“Kerajaan negeri lebih sesuai mengurus rumah kos rendah kerana lebih memahami realiti setempat,” katanya.
“Manakala agensi persekutuan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) wajar fokus kepada pembinaan rumah mampu milik.”
Menurut Zairul, antara manfaat model pengasingan ini termasuk ketepatan sasaran, perancangan lokasi strategik, mengelakkan pertindihan projek serta peningkatan akauntabiliti dasar perumahan.
Zairul turut mencadangkan beberapa penstrukturan dilakukan dalam dasar perumahan negara yang baharu, antaranya rumah kos rendah bawah RM100,000 disasarkan kepada B40 dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, katanya, rumah mampu milik berharga antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk M40 dan pembeli rumah pertama harus dilaksanakan oleh agensi persekutuan.
“Rumah pasaran terbuka berharga lebih RM300,000 (pula) dikendalikan oleh pemaju swasta,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Perumahan Awam Kebangsaan dan portal digital bersepadu untuk pemantauan dan permohonan projek.
“Dasar perumahan bukan sekadar membina struktur fizikal, tetapi juga membina harapan, martabat dan kestabilan sosial,” katanya.
“Ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan ketidaksamaan yang semakin meruncing, sistem perumahan yang adil dan efisien menjadi keutamaan.”