
Beliau yang menerajui negeri itu sejak 2018, ingin memfokuskan rancangan membangunkan semula kawasan perumahan dibina pada 1970-an dan 1980-an.
“Kalau sekali lagi kita diberi amanah di peringkat negeri, sesegera mungkin di tahun pertama saya akan turun balik ke sini dan beberapa kawasan di seluruh Selangor.
“Kita nak bangun semula rumah yang selesa untuk penduduk di sini dengan perumahan dua hingga tiga bilik,” katanya dalam ceramah PH-BN, malam tadi.
Ahli Parlimen Gombak itu yakin rancangannya boleh direalisasikan kerana kerajaan persekutuan dan negeri akan diterajui kerajaan perpaduan.
“Kalau kita mengubah arah semata-mata rasa nak ubah tanpa ada alasan, ikut emosi, akhirnya kita akan ulang balik sejarah lampau (ketika PH julung kali tawan Selangor pada 2008), yang mana kita tak boleh buat apa-apa.”
Selasa lalu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim mengumumkan Amirudin akan terus menjadi menteri besar Selangor jika gabungan dalam kerajaan perpaduan memenangi PRN bulan depan.
Sementara itu, Ketua Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin menjelaskan keputusan memberi laluan kepada PH di Hulu Bernam bagi menunjukkan kesediaan parti itu berunding dengan sekutu kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Umno dilaporkan memberi kerusi Hulu Bernam kepada Amanah sebagai pertukaran untuk DUN Jeram.
Beliau turut menggesa ahli Umno di Hulu Bernam memberi sokongan mereka kepada calon PH.
“Pada 23 Julai malam, saya akan ke Hulu Bernam untuk bertemu seluruh kepimpinan empat peringkat Umno dan BN Hulu Bernam supaya mereka memulakan tugas membantu calon PH yang akan diumumkan nanti.”
Terdahulu, Megat mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Zahid Hamidi kerana mencalonkannya bagi DUN Gombak Setia.
“Terima kasih kepada Anwar Ibrahim yang bersetuju memberikan kerusi Gombak Setia kepada BN.”