Rumah kos rendah terus dikecuali cukai taksiran tahun depan, kata exco Selangor

Rumah kos rendah terus dikecuali cukai taksiran tahun depan, kata exco Selangor

Bagaimanapun Ng Suee Lim berkata cukai taksiran bagi pemilik harta lain hanya membabitkan kenaikan sehingga 25%.

ppr
Ng Suee Lim berkata penghuni rumah kos rendah akan terus dikecualikan daripada membayar cukai taksiran.
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi semua rumah kos rendah di negeri itu, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim.

Beliau berkata, cukai taksiran bagi pemilik harta lain pada tahun depan pula hanya membabitkan kenaikan sehingga 25% sahaja dari nilai cukai semasa tahun ini.

“Pemilik harta yang telah lama tidak dibuat semakan akan menerima diskaun sehingga 75% pada cukai taksiran baharu bagi kenaikan yang melebihi 100%.

“Contohnya jika cukai taksiran rumah pangsapuri yang dibayar tahun ini berjumlah RM100 setahun, maka jumlah cukai baru yang dibayar pada 2025 adalah RM125 berbanding RM200 yang patut dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ng berkata, pendapatan tambahan daripada kenaikan cukai taksiran itu dapat membantu mempertingkat keupayaan dan keberkesanan kualiti perkhidmatan PBT dengan penyediaan pelbagai kemudahan infrastruktur.

Menurutnya, pelaksanaan kadar cukai taksiran baharu ditangguh sejak 2019, mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi semasa.

“Ia dilaksanakan sejajar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang mana senarai satu nilaian baharu hendaklah disedia dan disiapkan oleh semua PBT setiap lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Ng berkata pengecualian cukai taksiran juga akan diberi kepada rumah kawasan kampung baru dan tradisi secara bersasar.

“Mereka boleh memohon dan kita akan bagi jika memenuhi kriteria,” katanya.

Beliau menambah, semua ketua kampung dan Adun kawasan akan disaran untuk menghebohkan maklumat pengecualian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.