PKR putuskan Konvensyen Sarawak diteruskan Sabtu ini

PKR putuskan Konvensyen Sarawak diteruskan Sabtu ini

Keputusan itu bertentangan pendirian barisan kepimpinan PKR Sarawak bertegas membatalkan konvensyen negeri di Miri pada hujung minggu ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik di bangunan Parlimen malam ini.
KUALA LUMPUR:
Konvensyen PKR Sarawak tetap diteruskan pada Sabtu ini, walaupun mendapat tentangan pimpinan negeri, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

“Pada malam ini kita bincang beberapa perkara, termasuk isu berkaitan konvensyen bagi negeri Sarawak yang akan diteruskan, insya-Allah pada Sabtu ini,” katanya selepas mesyuarat Biro Politik di bangunan Parlimen malam ini.

Ditanya jika keputusan meneruskan konvensyen itu mendapat persetujuan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, beliau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan Pengarah Konvensyen Negeri PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Nanti pengarah konvensyen akan buat kenyataan media, insya-Allah dalam sehari dua,” katanya.

Petang tadi, Baru dilaporkan berkata, barisan kepimpinan PKR Sarawak tidak akan berganjak daripada keputusan membatalkan konvensyen negeri pada Sabtu ini.

Katanya, keputusan itu mendapat sokongan majoriti pemimpin negeri yang bersedia dikenakan tindakan disiplin.

Minggu lalu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dalam satu kenyataan membidas Pemuda PKR kerana membatalkan jemputan untuk Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres sayap itu pada bulan depan.

Kenyataan bersama itu turut memutuskan Konvensyen PKR Sarawak di Miri dibatalkan, selagi isu tersebut tidak diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi.

Pemuda PKR pula mendakwa Azmin tidak membalas surat jemputan untuk merasmikan kongres sayap itu selepas 6 minggu dihantar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.