
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpandangan, keputusan ketiga-tiga komponen Pakatan Harapan Sarawak — PKR, DAP, dan Amanah — tidak akan ganggu hubungan dalam kerajaan persekutuan, kerana ‘proses demokrasi ini perlu dihormati’.
Namun, katanya Anwar dan kepimpinan PH pusat mesti berhati-hati apabila menunjukkan sokongan kepada PH Sarawak, untuk mengekalkan hubungan baik dengan GPS.
Beliau meramalkan ‘Anwar akan lebih berhati-hati dan menjauhkan diri daripada keputusan Sarawak PKR, mengelak dilihat bersifat memaksa kuasa dalam menentukan hala tuju di Sarawak untuk jaga hubungan baik negeri dan pusat’.
“Langkah itu juga akan memastikan PKR Sarawak berjiwa tempatan dan menentukan hala tuju sendiri,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania berkata Anwar tidak perlu bimbang tentang hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Chin berkata, semua sedia maklum PH akan kekal sebagai pembangkang di Sarawak apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan pada November 2022.
Sebaliknya, cabaran bagi Anwar ialah bolehkah beliau kekal neutral tanpa dilihat seperti mengabaikan parti sendiri, katanya.
Beberapa pihak dalam GPS sebelum ini menggesa PKR tidak menyertai PRN, yang mesti diadakan menjelang April 2027.
GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN, manakala selebihnya diduduki DAP.
Bagaimanapun, Isnin lalu, PKR Sarawak mengesahkan akan bertanding bersama DAP dan Amanah.
PKR Sarawak bertanding 28 kerusi semasa PRN 2021 tetapi gagal memenangi mana-mana kawasan, malah 22 calon kehilangan deposit. Pada PRN 2016, PKR menang tiga kerusi.
Faktor ‘PMX’
Chin berkata, di atas kertas, PKR mempunyai peluang baik untuk merampas beberapa kerusi di Sarawak, memandangkan ia mengetuai kerajaan persekutuan, presidennya juga perdana menteri, dan mempunyai akses kepada sumber lebih besar.
Bagaimanapun, profil PKR di Sarawak ‘sangat rendah’ manakala GPS mengukuhkan cengkaman ke atas negeri itu.
“Tagline ‘Sarawak First’ sangat popular dalam kalangan rakyat semua kumpulan di Sarawak. Mereka juga terima baik kenyataan pemimpin GPS tentang Sarawak masyarakat berbilang kaum dan agama.”
Awang Azman berkata, PKR Sarawak mesti memanfaatkan imej Anwar sebagai perdana menteri bagi menarik sokongan rakyat tempatan.
Populariti GPS di Sarawak mungkin berada pada tahap tinggi, tetapi PKR Sarawak perlu main peranan semak dan imbang agar rakyat benar-benar dapat manfaat daripada dasar dan inisiatif kerajaan.
Beliau juga berkata, PKR pusat beri rangsangan yang besar untuk PKR Sarawak, dan PKR negeri pula menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan untuk memperkenalkan visinya kepada komuniti.