‘Tak payah jaga tepi kain orang’, PKR Sarawak beritahu Larry Sng

‘Tak payah jaga tepi kain orang’, PKR Sarawak beritahu Larry Sng

Ketua Penerangan Abun Sui Anyit membidas presiden PBM susulan gesaan agar ahli PKR Sarawak menyertai GPS.

abun sui anyit larry sng
Ketua Penerangan PKR Abun Sui Anyit (kiri) berkata Presiden PBM Larry Sng tidak perlu bercakap mengenai PKR lagi selepas ‘melompat’ keluar parti itu.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak perlu menjaga ‘tepi kain’ pihak lain, susulan gesaan Larry Sng supaya ahli partinya menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sng sepatutnya tumpukan kepada partinya. Beliau sudah melompat keluar daripada parti kami, jadi tak payahlah bercakap mengenai PKR lagi. Tumpu pada parti sendiri,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Sng semalam, antara lain mencadangkan PKR Sarawak tiada masa depan di negeri itu dan sepatutnya mempertimbang bersama GPS, memandangkan presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerlukan sokongan GPS di peringkat pusat.

Abun Sui berkata, kenyataan Sng tidak berasas dan tidak relevan, sedangkan PKR Sarawak hari ini berbeza berbanding era ketika PKR menjadi pembangkang.

“Malah, ada pemimpin yang pernah memimpin PKR Sarawak, tetapi akhirnya melompat keluar dan akhirnya meminta untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan. Malah, diberi Jawatan penting dalam GLC lagi,” katanya merujuk perjalanan politik Sng.

Abun Sui juga mempertahankan pendekatan Anwar berurusan dengan pemimpin GPS, sambil berhujah sebagai perdana menteri, Anwar mempunyai tanggungjawab mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan negeri tanpa mengira hala tuju politik.

“Wajar bagi presiden PKR yang juga perdana menteri memuji pemimpin kerajaan negeri. Semalam, beliau menyambut kedatangan menteri besar Kelantan ke pejabatnya, walaupun Kelantan diterajui pembangkang di peringkat pusat.

“Itulah dilakukan pemimpin hebat dan profesional seperti Anwar. Bila mana rasa hormat diraih tanpa diminta. Itulah cara sepatutnya bagi pemimpin kerajaan persekutuan melayan pemimpin negeri,” katanya.

Abun Sui juga menolak cadangan wajar PKR Sarawak tidak bertanding pada PRN akan datang.

“Jika PKR kelihatan lemah, tak perlulah sesiapa takut kami bertanding. Kenapa pula mahu beritahu PKR Sarawak tidak perlu bertanding sama sekali?

“Biarlah rakyat Sarawak menilai dalam PRN Sarawak akan datang kerana rakyat juga berhak memilih dan mengangkat pemimpin yang adil, telus, dan berintegriti.

“Kehadiran Pakatan Harapan (PH) di Sarawak demi memastikan semak dan imbang di negeri, dan tidak mustahil rakyat Sarawak mungkin memberi mandat kepada PH mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, PKR Sarawak mengumumkan akan bertanding pada PRN berkenaan, yang mesti diadakan selewat-lewatnya April 2027.

GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN manakala DAP dengan dua kerusi.

PKR Sarawak bertanding 28 kerusi pada PRN 2021, namun gagal menang sebarang kerusi selain 22 calonnya hilang deposit. Parti itu menang tiga kerusi pada PRN 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.