
Sng, yang juga bekas ketua PKR Sarawak, berkata beliau tidak melihat parti berkenaan sebagai pencabar utama pada PRN, memandangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai presiden PKR memerlukan sokongan GPS di peringkat pusat.
“Beliau memuji Premier Sarawak Abang Johari pada setiap majlis dan memenuhi hampir setiap permintaan dikemukakan oleh kerajaan negeri pimpinan GPS,” katanya kepada FMT.
“Keduanya, PKR Sarawak tidak didanai secukupnya dan telah dinasihatkan jangan membuat kacau oleh pemimpin-pemimpin pusat.
“Jika mereka mahu masa depan dalam politik, ahli mereka sepatutnya menyertai GPS. Malah, bekas pemimpin tegar PKR seperti Baru Bian dan Willie Mongin sudah menjadi ahli komponen GPS.”
Sng berkata, beliau percaya PKR Sarawak tidak perlu bertanding pada PRN sebagai usaha menyumbang kepada politik nasional.
Awal hari ini, PKR Sarawak mengumumkan hasrat bertanding pada PRN akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027.
Ketika ini, GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan DAP memiliki dua kerusi.
Pada PRN 2021, PKR Sarawak bertanding 28 kerusi, namun gagal menang sebarang kawasan, selain 22 calonnya hilang deposit. Parti itu mempunyai tiga kerusi pada PRN 2016.