
Azhar Azizan Harun berkata, dalam memastikan aktiviti kempen pada setiap pilihan raya umum atau pilian raya kecil dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang, SPR mewujudkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau dan mengawal aktiviti calon dan parti politik selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Merujuk kepada insiden di Pasar Awam Pekan Nanas, kata beliau tindakan pasukan itu menurunkan bahan-bahan kempen adalah selaras dengan peruntukan ditetapkan.
“Terdapat satu kain rentang Parti Gerakan (ucapan perayaan Deepavali), lapan unit kain rentang Pakatan Harapan dan enam unit kain rentang tanpa pemilikan yang tiada maklumat pencetak.
“Pasukan PP-KPR telah menurunkan bahan-bahan kempen tersebut dan tindakan ini adalah selaras dengan Seksyen 11(1) (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” kata beliau, lapor Bernama.
Azhar berkata dalam masa sama, semua bahan kempen atau cetakan tersebut juga diikat pada pagar pasar, iaitu struktur awam di mana ia tidak dibenarkan diletakkan di tempat berkenaan sama ada melibatkan bahan pameran pilihan raya atau tidak.
Kesemua bahan kempen tersebut diturunkan dan tindakan berkenaan dipersetujui oleh wakil parti yang hadir tanpa bantahan, katanya.
“Sehubungan itu, dakwaan laporan berita pada 5 Nov 2019 bahawa SPR tidak berlaku adil adalah tidak benar. Setiap tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh SPR adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Tiga hari lepas, Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau dilaporkan meminta SPR supaya bertindak adil kepada semua parti dan calon yang bertanding di Tanjung Piai.
Lau dilapor berkata beliau hairan dengan tindakan SPR yang tidak membenarkan jentera partinya meletakkan gegantung di satu lokasi berhampiran pasar awam dan tepi jalan berdekatan masjid di Pekan Nanas.
Azhar juga berkata bagi pilihan raya kecil Tanjung Piai, SPR telah melantik empat pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bermula pada hari penamaan calon, 2 Nov lepas dan berakhir 11.59 malam, 15 Nov dan pasukan itu sudah mula bertugas sejak hari penamaan calon sehingga keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.
Keanggotaan PP-KPR sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah terdiri daripada seorang Pegawai Penguat Kuasa (Ketua PP-KPR), seorang wakil PDRM (Polis Diraja Malaysia), seorang wakil PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan seorang wakil dari setiap parti atau calon yang bertanding.
Menurut Azhar, maklumat ringkas berkaitan tindakan penguatkuasaan serta statistik laporan PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) yang dipantau oleh SPR akan dipaparkan setiap hari sepanjang tempoh berkempen dalam Facebook, Twitter dan portal SPR.
“Justeru, SPR sentiasa komited dalam memastikan setiap urusan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.