
Setiausaha Agung, Azmin Ali, berkata perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam ini.
“MPT bersetuju mengambil ketetapan sebulat suara beberapa perkara termasuk melantik lima orang untuk menganggotai lembaga rayuan yang dipengerusikan oleh Azhar.
“Manakala anggota lembaga rayuan adalah bekas Ahli Parlimen Shah Alam Zulkifli Nordin, Ahli MPT Redzuan Yusof serta ahli Abdul Latiff Ahmad dan Fahimee Ismail,” katanya dalam kenyataan.
Khamis lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini digantung keahlian selama sepenggal mempersoalkan kelewatan pelantikan ahli lembaga rayuan parti itu.
Dakwanya, kes beberapa ahli Bersatu yang dipecat dan digantung terbiar tanpa penyelesaian berikutan kelewatan pelantikan tersebut.
Menurut Wan Fayhsal, ahli yang terkesan akan terus berada dalam ketidakpastian selagi kuorum tiga orang ahli lembaga itu belum diisi.
Pada 15 Okt lalu, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan penggantungan keahlian Wan Fayhsal dan pemecatan Wan Saiful Wan Jan atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.
Empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi baru-baru ini.