
Perkara itu dimaklumkan ibu tiri mangsa, Asmaliza Ahmad, 39, yang berkata Muhammad Aimin Nurul Amin, anak tunggal perkahwinan terdahulu suaminya, pulang bercuti ke rumah mereka di Charuk Puting bermula 31 Okt lalu.
“Arwah seperti biasa sepanjang berada di rumah…dia selalu ceria dan cergas. Saya hanya tahu di badannya ada kesan kudis dan tak pernah perasan jika ada kesan lebam.
“Kami membuat keputusan menghantar arwah dan abang tirinya ke pusat tahfiz itu kerana prestasinya di sekolah kebangsaan kurang memuaskan, selain minat arwah memang ke arah bidang agama,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah hari ini, semasa menuntut jenazah arwah selepas selesai proses bedah siasat.
Jenazah Aimin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Charuk Puting hari ini.
Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang pada 1.20 tengah hari semalam, selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh warden wanita pusat tahfiz itu kira-kira 20 minit sebelumnya.
Pemeriksaan menemukan kesan lebam pada badan mangsa dan polis kini menahan tiga pelajar pusat tahfiz itu berusia 13 tahun bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pusat tahfiz itu mula beroperasi awal tahun ini di sebuah rumah batu di Kampung Kuala Kaung, dipercayai tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan setakat ini, mempunyai empat pelajar termasuk mangsa.
Sementara itu, warden pusat tahfiz itu, Siti Nor Asilah Samsuri, 39, berkata dia membawa Aimin ke klinik kesihatan selepas mendapati Aimin masih berada di asrama sedangkan tiga pelajar lain sudah ke masjid bagi menunaikan Zohor.
“Arwah kelihatan tidak bermaya dan beritahu dia penat. Kaki dan tangannya juga sejuk semasa saya pegang selain seluarnya basah seperti baru dibasuh dan terus dipakai dari ampaian,” katanya.
Tenaga pengajar pusat tahfiz tersebut, Mohd Heesham Mat Yeh, 39, yang juga suami kepada Siti Nor Asilah mendakwa Aimin tidak pernah mengadu dibuli atau sakit sepanjang berada di situ.
Katanya, mereka juga memberi lebih tumpuan kepada Aimin memandangkan mangsa adalah pelajar paling muda dan agak lasak berbanding pelajar lain.