Selepas Jho Low didedahkan, Cyprus akan batal kerakyatan 26 ‘pelabur’

Selepas Jho Low didedahkan, Cyprus akan batal kerakyatan 26 ‘pelabur’

Pengumuman itu turut membabitkan sembilan warga Rusia, lapan warga Kemboja, lima rakyat China, dua rakyat Kenya dan seorang warga Iran.

Akhbar Politis mendakwa Jho Low mendapat pasport Cyprus pada 2015 selepas campur tangan Archbishop Chrysostomos II, ketua Gereja Ortodoks negara itu.
NICOSIA:
Cyprus memulakan proses membatalkan kerakyatan 26 individu yang mendapat kewarganegaraan melalui program pelaburan untuk pasport negara itu.

Menteri Dalam Negerinya, Constantinos Petrides berkata, proses pembatalan itu memfokuskan pelabur yang mendapat sejumlah 26 pasport, termasuk untuk ahli keluarga mereka.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, keputusan itu membabitkan sembilan warga Rusia, lapan warga Kemboja, lima rakyat China, dua rakyat Kenya dan masing-masing seorang dari Iran serta Malaysia.

Pegawai itu berkata, ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low antara individu yang akan dibatalkan kewarganegaraannya.

Petrides berkata, Cyprus juga akan mengkaji semula kira-kira 4,000 pasport yang ditawarkan di bawah program itu dan Nicosia bercadang memastikan pemantauan dan pelaksanaan ketat ke atas rangka kerja program pelaburannya.

Akhbar Politis melaporkan Jho Low mendapat pasport Cyprus pada 2015 susulan campur tangan Archbishop Chrysostomos II, ketua Gereja Ortodoks di pulau Mediterranean itu.

Menurut akhbar itu, dia mendapat kewarganegaraan Cyprus di bawah skim pelaburan untuk pasport selepas membeli sebuah rumah agam berharga €5 juta (RM23 juta) di bandar peranginan Agia Napa.

Jho Low segera meninggalkan pulau itu selepas membeli hartanah berkenaan dan mendapat pasportnya.

Seorang pegawai kanan kerajaan Cyprus mengesahkan Jho Low mempunyai kerakyatan negara itu, tetapi Archbishop tidak mengulas ketika dihubungi Bloomberg News.

Politis melaporkan Chrysostomos menghantar sekurang-kurangnya dua surat kepada menteri dalam negeri ketika itu untuk meminta naturalisasi Jho Low kerana mereka sedang berunding mengenai pelaburan dalam hartanah gereja.

Pendakwa Raya menuduh Jho Low ialah dalang di sebalik skandal 1MDB yang didakwa membabitkan penyelewengan lebih AS$4.5 bilion.

Baru-baru ini, Jho Low membuat perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS untuk memulangkan aset bernilai hampir AS$1 bilion untuk menyelesaikan kes pelucuthakan yang dikaitkan dengannya. Dia berulang kali menafikan terbabit sebarang salah laku.

Kedudukannya tidak diketahui kini, walaupun Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya tahun lalu.

Polis Malaysia dilaporkan tahu di mana Jho Low berada, tetapi mereka sedang berunding dengan pihak tertentu yang melindunginya untuk membawanya pulang ke Malaysia.

Low ditawarkan suaka pada Ogos lalu oleh sebuah negara yang bertindak sejajar Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia, kata jurucakapnya minggu lalu menerusi peguamnya tanpa menamakan negara terbabit.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.