
Agensi itu berkata, penahanan itu dibuat menerusi Operasi Khas dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Imigresen Johor dan Sabah di Simpang Renggam, Johor serta Kota Kinabalu, Sabah pada 19 dan 21 Jan.
Menurutnya, operasi berkenaan bermula dengan penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah premis kediaman di Simpang Renggam yang dipercayai memberi perakuan palsu bagi mendapatkan pasport.
“Susulan penahanan itu, operasi diteruskan ke Kota Kinabalu dan membawa kepada penahanan dua lelaki yang masing-masing merupakan pegawai imigresen, dipercayai bertindak sebagai dalang utama dan pemudah cara kepada sindiket tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Semua individu yang ditahan lingkungan 32 hingga 40 tahun dengan hasil risikan dan pemantauan hampir dua bulan.
Imigresen turut merampas dua pasport Malaysia antarabangsa (PMA) serta dokumen permohonan PMA secara dalam talian, dipercayai berkaitan secara langsung dengan kegiatan sindiket.
Siasatan awal mendapati sindiket tersebut menawarkan perkhidmatan pembaharuan PMA kepada rakyat Malaysia di luar negara tanpa mematuhi prosedur ditetapkan, dengan promosi dibuat melalui media sosial.
Pemohon hanya perlu menyerahkan maklumat peribadi dan gambar, manakala keseluruhan urusan permohonan diuruskan sindiket dengan bayaran RM12,000 bagi setiap permohonan PMA, tanpa kehadiran ke pejabat imigresen.
“PMA yang siap akan dipos ke luar negara melalui perkhidmatan kurier kepada ejen di sana,” katanya.
Semua suspek disiasat mengikut Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Johor serta Sabah untuk siasatan lanjut, manakala seorang wanita tempatan dan seorang lagi pegawai imigresen diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.