
Beliau berkata pembaharuan itu sebahagian daripada hala tuju Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkukuh sistem keselamatan dokumen pengenalan negara serta mengelakkan risiko ancaman pemalsuan.

Menurut Saifuddin, pertukaran itu bukan dilakukan secara tergesa-gesa tetapi berlandaskan keperluan keselamatan serta kitaran pembaharuan yang telah ditetapkan.
“MyKad ialah dokumen keselamatan dan selepas satu tempoh, ciri-cirinya perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan teknologi bagi mengelakkan pemalsuan,” katanya pada sidang media selepas sebuah majlis kementeriannya.
Menurut Saifuddin, pasport Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia dari segi kemudahan perjalanan tanpa visa dan penyediaan dokumen generasi baharu penting bagi mengekalkan tahap kebolehpercayaan itu.
“Malaysia akan memiliki pasport berwajah baharu dalam masa enam bulan daripada sekarang.
“Dokumen baharu itu akan dilengkapi ciri keselamatan yang dipertingkat bagi mengekalkan integriti pasport dan mengatasi risiko pemalsuan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan sebelum ini dijangka berkuat kuasa Jun atau Julai depan.
Menurutnya, pihaknya perlu membuat persediaan rapi termasuk membuat pindaan kepada Citizenship Regulation 1964 dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.
“Selain itu, penyediaan borang berkaitan serta pemakluman kepada perwakilan Malaysia di luar negara sebelum pewartaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.