Kami tidak tahu suspek sakit mental, kata keluarga 3 beranak ditetak

Kami tidak tahu suspek sakit mental, kata keluarga 3 beranak ditetak

Siasatan awal mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri selain tiada rekod jenayah lampau atau terbabit dalam penagihan dadah.

JERANTUT:
Ahli keluarga tiga beranak yang menjadi mangsa tetak dan tikam oleh jiran sendiri di Felda Kota Gelanggi Satu di sini, tiga hari lepas tidak menyangka suspek boleh bertindak sedemikian kerana mereka sudah lama saling mengenali.

Siti Noraini Zainal Abidin, 33, yang merupakan kakak kepada seorang mangsa, Mohd Nor Alami Zainal Abidin, 31, berkata, suspek sebelum ini kerap datang ke rumah mereka untuk berbual dengan adiknya itu.

“Kami tidak tahu suspek mempunyai sejarah sakit mental. Malah daripada cerita adik (Mohd Nor Alami) ketika kejadian, mereka sedang berbual apabila secara tiba-tiba suspek mengeluarkan parang lalu menetak tangan kirinya.

“Saya memang terkejut bila terima berita adik, ayah dan anak saudara dicederakan kerana suspek sudah dianggap seperti sebahagian daripada keluarga kerana hubungan kami agak rapat,” katanya, lapor Bernama.
Selain Mohd Nor Alami, suspek turut mencederakan bapa Siti Noraini dan Mohd Nor Alami iaitu Zainal Abidin, 63, dengan menikam perut lelaki itu beberapa kali selain turut menetak tangan kanan cucu Zainal Abidin, Nor Syashakilla Hasbullah, 20.

Dalam kejadian 11.40 malam Rabu lalu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa dan memanggil Mohd Nor Alami yang sedang menonton televisyen untuk keluar dari rumah. Mohd Nor Alami yang mendengar panggilan itu bertindak keluar dan telah ditetak suspek.

Selepas menetak Mohd Nor Alami, suspek meluru masuk ke dalam rumah dan menetak Nor Syashakilla yang ketika itu sedang bersiap untuk tidur di ruang tamu.

Zainal Abidin yang baru sahaja bergegas keluar dari biliknya ke ruang tamu selepas mendengar jeritan Nor Syashakilla turut ditikam oleh suspek.

Suspek berusia 32 tahun yang dikatakan bertindak sedemikian kerana mengalami halusinasi itu bagaimanapun berjaya ditahan polis di rumahnya, selang beberapa jam selepas kejadian bersama parang berukuran 40sm dan baju yang berlumuran darah.

Siti Noraini berkata Mohd Nor Alami dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, dekat sini semalam manakala bapanya dijadual menjalani pembedahan untuk kali ketiga, hari ini di hospital sama dan Nor Syashakilla pula masih ditahan di hospital berkenaan untuk pemantauan lanjut.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana ketiga-tiga mereka selamat dan stabil terutama ayah yang sebelum ini berada dalam keadaan kritikal kerana kecederaan teruk dialaminya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan berkata, suspek direman sehingga esok ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Siasatan awal mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri selain tiada rekod jenayah lampau atau terbabit dalam penagihan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.