Putrajaya kenal pasti opsyen tangani masalah perolehan helikopter

Putrajaya kenal pasti opsyen tangani masalah perolehan helikopter

Ia juga tidak akan terpengaruh dengan tekanan dari mana-mana pihak, katanya.

PETALING JAYA: Putrajaya mengenal pasti beberapa opsyen yang boleh diambil bagi menangani masalah perolehan enam helikopter tempur ringan MD530G, bernilai lebih RM300 juta, yang belum dihantar.

Ia akan memastikan sebarang keputusan yang diambil hanya akan mengakibatkan kerugian paling minimum kepadanya.

“Kerajaan juga tidak akan terpengaruh dengan tekanan dari mana-mana pihak mengenai perolehan ini,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini.

Kementah juga sedang mengkaji maklumat dan maklumbalas yang diterima dari semua pemegang taruh bagi memuktamadkan hala tuju mengenai perolehan helikopter itu.

Pada Mei, FMT melaporkan mengenai pesanan untuk enam helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters dari Amerika Syarikat oleh pentadbiran lepas.

Helikopter itu sepatutnya dihantar dalam dua fasa, iaitu dua buah dihantar pada Jul 2017 dan empat lagi dijadualkan dihantar pada Dis 2018.

Kementah hari ini memaklumkan penghantaran helikopter itu mengalami kelewatan hasil dari pelbagai isu teknikal yang berkaitan dengan syarikat pembuat asal (OEM).

Katanya, kerajaan mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi semasa pembinaan helikopter tersebut dan mendapati pindaan dan perubahan perlu dibuat agar ia memenuhi keperluan agensi.

Dalam pada itu, berdasarkan kepada kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter.

“Tarikh penghantaran bagi helikopter tersebut juga telah dipinda sebanyak tiga kali, namun tiada sebuah helikopter pun yang telah diserahkan kepada kerajaan sehingga hari ini,” katanya.

“Kerajaan pula telah memenuhi obligasi dengan membuat pembayaran kepada syarikat sebanyak RM112.6 juta yang bersamaan dengan 35% daripada RM321.9 juta nilai keseluruhan kontrak iaitu sehingga bayaran milestone ke-6,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.