
Menteri Mohamed Khaled Nordin berkata anak anggota dan veteran angkatan tentera yang merupakan graduan dalam bidang seperti farmaseutikal, biomedikal, kimia, kejuruteraan, logistik, teknologi maklumat, dan kewangan berpeluang menjalani latihan industri selama lapan bulan bersama Pharmaniaga.
“Bermula tahun hadapan, sebanyak 120 tempat akan diperuntukkan oleh Pharmaniaga Berhad menerusi program Pharmagrad,” katanya dalam ucapan pada majlis berbuka puasa bersama media.
Selain Pharmagrad, Khaled berkata kementerian menjalankan program latihan keusahawanan Protege-RTW dengan kerjasama BHPetrol bagi meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan menganggur.
“Ia terbuka kepada graduan anak-anak angkatan tentera dalam semua bidang. Protege-RTW ini akan melibatkan antara lainnya latihan penempatan dan bimbingan bersama syarikat-syarikat yang terlibat dalam tempoh lapan hingga 12 bulan,” katanya.
Beliau berkata BHPetrol akan memperuntukkan 22 tempat setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 66 penempatan.
“Pemilihan calon akan dibuat berdasarkan kriteria yang telah digariskan mengikut kesesuaian. Bilangan ini akan disemak semula mengikut keperluan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.