Aset: Kementah ambil langkah segera pastikan ketelusan, pematuhan

Aset: Kementah ambil langkah segera pastikan ketelusan, pematuhan

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahu semua pihak terlibat dalam perolehan aset ketenteraan perlu pastikan penilaian dibuat secara telus serta keperluan sebenar.

khaled nordin
Menteri Khaled Nordin kata langkah segera telah dan sedang diambil bagi memastikan ketelusan dan pematuhan etika dalam perolehan aset pertahanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan (Kementah) telah dan sedang mengambi langkah segera bagi memastikan ketelusan, serta pematuhan etika dan garis panduan yang ketat dalam urusan perolehan aset.

Menteri Khaled Nordin berkata inisiatif itu termasuk pengukuhan dasar dan prosedur dalaman, serta memperluaskan kerjasama antara negara melalui memorandum persefahaman antara kerajaan (G2G).

Perkembangan ini menyusuli titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu semua pihak terlibat dalam perolehan aset ketenteraan perlu memastikan penilaian dibuat secara telus mengikut harga pasaran serta keperluan sebenar tentera, bukan semata-mata mendengar cadangan ejen atau pihak berkepentingan.

Sultan Ibrahim semasa perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor hari ini mahu Kementah jangan buang masa beli ‘barang merepek’ atau pada harga ‘tidak masuk akal’.

“Kementah komited untuk sentiasa menjunjung prinsip akauntabiliti dan integriti dalam aspek perolehan aset-aset pertahanan negara,” katanya kepada FMT, dan menambah pihaknya menjunjung titah baginda.

Khaled menerangkan kajian menyeluruh dari aspek kesesuaian, jangka hayat, keselamatan dan teknologi, antara lain, akan dilaksanakan bagi cadangan baharu, dengan penglibatan tentera selaku pengguna.

Penilaian harga sebenar juga akan dibuat secara tuntas sebelum mengesahkan perolehan. “Mana-mana perolehan aset pertahanan juga dibuat berdasarkan kepada keperluan tentera atau ‘user-driven’.”

Terdahulu, Sultan Ibrahim menyorot perhatian menteri dan kepimpinan tentera kepada pembelian pesawat A-4 Skyhawk terpakai’, yang akan meletakkan juruterbangnya dalam ‘keranda terbang’.

Baginda turut menasihatkan menteri membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk yang usianya lebih 30 tahun kerana khuatir kesilapan sama berulang.

Sultan Ibrahim berkata baginda percaya perkara itu berlaku kerana Kementah penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang jadi ‘salesman’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.