Kementah kerjasama dengan KKR pastikan projek berjalan lancar

Kementah kerjasama dengan KKR pastikan projek berjalan lancar

Menteri Khaled Nordin ditanya sama ada Kementah pantau pelaksanaan projek susulan isu pembinaan kolam selam tempur yang lambat siap.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kementeriannya dan KKR bermesyuarat secara berkala untuk melihat kemajuan projek dan prestasi kontraktor.
JOHOR BAHRU:
Kementerian Pertahanan (Kementah) bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastikan pelaksanaan projek-projek yang melibatkan kementerian itu berjalan lancar.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya berperanan dalam melakukan pemantauan manakala KKR pula melibatkan aspek teknikal dan sebagainya.

“Kita (Kementah-KKR) ada mesyuarat secara berkala untuk melihat sesuatu projek ikut jadual atau lewat ikut jadual dan bagaimana prestasi kontraktor juga.

“…dan memang cara kerajaan, semua projek KKR laksana kerana ia agensi terknikal, kita (Kementah) pula dari segi memantau projek berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall.

Beliau mengulas sama ada kementeriannya sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan susulan isu pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang lambat siap.

Semalam, Khaled dilaporkan berkata kegagalan subkontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja pendawaian menjadi punca projek pembinaan kolam selam tempur di kem itu lambat disiapkan mengikut jangkaan.

Beliau berkata meski projek itu merupakan projek Kementah, namun ia dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekiranya berlaku kelewatan pembinaan, kontraktor yang terbabit akan dikenakan penalti.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim bertitah kolam itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.