Kemalangan maut di lebuh raya PLUS, pemandu treler ditahan

Kemalangan maut di lebuh raya PLUS, pemandu treler ditahan

Siasatan awal mendapati tiang konkrit yang terjatuh mengakibatkan kerosakan pada lima kereta serta sebuah treler lain yang melalui laluan di kedua-dua arah.

Dalam kejadian malam tadi di KM 256.1 Lebuhraya PLUS dekat Ipoh, dua terbunuh, sementara dua lagi cedera parah terkena tiang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler . (Gambar Facebook)
IPOH:
Polis menahan seorang pemandu treler yang dipercayai hilang kawalan hingga menyebabkan kemalangan maut selepas muatan tiang konkrit dibawanya terjatuh di Km 256.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Razali Ibrahim berkata, pemandu treler berusia 41 tahun yang beralamat di Kedah itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut, dan ujian saringan air kencing terhadapnya negatif.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati konkrit yang terjatuh mengakibatkan kerosakan pada lima kereta terdiri daripada Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, Proton Iriz dan Mercedes Benz serta sebuah treler lain yang melalui laluan di kedua-dua arah.

Katanya, akibat kejadian itu, pemandu Honda City dikenali sebagai Leong Woei Ser, 34, dan penumpang Cheah Kim Seng, 60, maut di lokasi, manakala dua lagi penumpang kereta itu parah.

“Pemandu Perodua Axia dan pemandu treler mengalami cedera ringan, manakala pemandu tiga kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, siasatan awal mendapati treler itu membawa muatan 18 tiang konkrit dari arah selatan dan brek kenderaan itu dipercayai tidak berfungsi, mengakibatkan pemandu hilang kawalan ketika menuruni bukit.

“Pemandu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapan dengan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan lalu mengakibatkan muatan yang dibawa terjatuh dan dua daripadanya memasuki laluan bertentangan sebelum menghempap Honda City dan dilanggar kenderaan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.