
PETALING JAYA: Seorang tentera maut selepas trak dinaiki bersama enam lain terjunam dalam gaung di KM257 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat Terowong Menora.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.59 petang tadi.
Katanya, daripada tujuh mangsa yang berada dalam trak, lima berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan bomba, manakala dua lagi tersepit di bahagian belakang.
“Mangsa pertama dikeluarkan pada 5.54 petang dan disahkan meninggal dunia, manakala mangsa kedua pula dikeluarkan pada 6.14 petang dalam keadaan cedera,” katanya menurut Harian Metro.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.