
Perhatian itu dibuktikan apabila Agong sendiri mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai nasib atlet kebangsaan itu.
Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Jasni Shafie berkata, Sultan Abdullah berkata demikian ketika menerima menghadap kunjungan barisan kepimpinan SAM di ibu negara pada Rabu.
Menurut Jasni, Sultan Abdullah yang meminati sukan berkuda menzahirkan harapan agar isu Qabil mendapat perhatian mereka yang berkenaan.
“Pada pertemuan semalam, baginda mengambil maklum mengenai isu Qabil dan ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
“Baginda juga berharap ia dapat diselesaikan segera dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengenai pertemuan itu, Jasni berkata pada pertemuan selama 20 minit, Agong turut diberikan penerangan mengenai perkembangan sukan negara serta kewartawanan sukan selain aktiviti SAM.
Perancangan Qabil, yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 terjejas kerana beliau dikatakan tidak dapat kembali ke Eropah bagi menyertai baki kejohanan kelayakan ke Olimpik yang sedang berlangsung hingga Disember ini.
Ini kerana beliau tidak dibenarkan masuk ke negara Eropah sejak akhir Ogos lepas ekoran isu berkaitan peraturan imigresen.
Qabil kini berada di kedudukan ketiga kumpulan Asia/Oceania bagi kelayakan ke Olimpik apabila mengumpul 748 mata di belakang Wendi Williamson dari New Zealand yang memperoleh 776 mata di kedudukan pertama diikuti Hwang Yong-Shik dari Korea Selatan (773 mata).