Jadikan teladan, titah Sultan Pahang berkait isu pemain warisan

Jadikan teladan, titah Sultan Pahang berkait isu pemain warisan

Baginda yang juga bekas presiden FAM bertitah pihak bertanggungjawab perlu berusaha memperbetulkan keadaan.

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports di Stadium Merdeka.
KUALA LUMPUR:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah isu dokumentasi tujuh pemain warisan negara harus dijadikan teladan dan peringatan kepada semua pihak pada masa hadapan.

Baginda yang juga bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah, pihak bertanggungjawab perlu berusaha memperbetulkan keadaan demi cinta terhadap bola sepak tanah air, sekali gus membolehkan sukan itu bangkit daripada masalah yang membelenggu.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama menyeru semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan isu berkenaan agar dapat dijalankan dengan adil.

“Untuk bersikap adil, biarkan proses itu berjalan lancar. Biarlah kebenaran menang. Biar yang benar akan keluar dari pihak-pihak yang bertanggungjawab,” titah baginda pada acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports di Stadium Merdeka.

Isnin lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan Fifa mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen bawah Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain berkenaan didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) seorang dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

FAM dan pemain terbabit mempunyai 10 hari untuk memohon penghakiman penuh dan 21 hari bagi memfailkan rayuan kepada CAS.

Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, yang terkejut dengan keputusan itu berkata pihaknya akan menulis kepada Fifa bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan, sebelum menentukan langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS.

Legenda sukan

Sementara itu, keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke acara hari ini turut diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dianjurkan oleh ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa), majlis itu menghimpunkan 150 tetamu termasuk legenda sukan tanah air seperti Santokh Singh dan Soh Chin Ann (bola sepak), Rashid Sidek dan James Selvaraj (badminton) dan Leong Mun Yee (terjun).

Majlis bermula dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenaan menyertai sesi zumba sebelum mengelilingi trek lokasi ikonik itu selain jamuan makan bersama tetamu jemputan.

Mengenai Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports, Baginda bertitah idea berkenaan datang daripada baginda sendiri bagi melepaskan rindu kepada legenda sukan yang pernah berbakti buat negara suatu ketika dahulu.

“Memang kita rindu orang-orang lama. Sebenarnya idea ini memang asal daripada saya setelah selalu kunjung ke masjid sebelah ini, Masjid Al-Sultan Abdullah dan ternampaklah bangunan tinggi (Merdeka 118) dan sebelah stadium ikonik ini, Stadium Merdeka.

“Jadi, saya hasilkan cetusan idea ini untuk berjalan di sini sekali dan kenapa mahu berjalan seorang? Baiklah kita jemput, legenda-legenda, ahli-ahli sukan dan atlet dahulu dan semua pihak yang terlibat mengingati Stadium Merdeka ini satu ketika dulu,” titah baginda.

Baginda juga terbuka dengan idea untuk meneruskan penganjuran acara ini menjadi acara tahunan pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.