Sultan Pahang titah masjid, surau buat solat hajat

Sultan Pahang titah masjid, surau buat solat hajat

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah zahir titah berikutan siri gempa bumi landa Johor, yang turut dirasai di selatan Pahang.

Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah titah masjid dan surau di Pahang laksana solat hajat malam esok. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan semua masjid dan surau di seluruh negeri itu mengadakan solat hajat serta doa menolak bala malam esok.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, titah tersebut dizahirkan Sultan Abdullah berikutan beberapa siri bencana gempa bumi di negara ini, sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri.

“Baginda bertitah agar umat Islam di Pahang sentiasa memperkukuh doa, meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah,” Menurut hantaran itu.

“Baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri ini daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat.”

Bernama melaporkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.

Pada 24 Ogos lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.