
Adun P Gunasekaren dan G Saminathan, serta V Sureshkumar dan B Subramaniam, dituduh bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan atas dakwaan memberi sokongan kepada LTTE menerusi media sosial.
Lapan yang lain – A Kalaimughilan, S Chandru, V Balamurugan, S Arivainthan, R Sundram, S Thanagaraj, M Pumugan dan S Teran – dituduh memiliki bahan berkaitan kumpulan militan itu.
Kecuali Subramaniam dan Sureshkumar, 10 orang itu dituduh dengan kesalahan serupa di lima negeri pada Selasa.
Semua 12 orang itu dibawa ke depan Hakim Rozina Ayob, Azman Ahmad dan Azura Alwi di tiga Mahkamah Sesyen berbeza.

Kes mereka akan disebut esok kerana peguam Ramkarpal Singh menggesa Rozina memindahkan perkara itu ke Mahkamah Tinggi kerana pihak pembelaan mahu membangkitkan isu perlembagaan mengenai hak mendapat ikat jamin.
Timbalan pendakwa raya Muhammad Iskandar Ahmad mengetuai pasukan pendakwaan di ketiga-tiga mahkamah itu.
Mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu kes diselesaikan.

LTTE dianggap sebagai kumpulan pengganas bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram pada Februari 2014.
Sri Lanka, Amerika Syarikat, Kanada, India dan Kesatuan Eropah juga melabel LTTE sebagai kumpulan pengganas.