Saman fitnah Zakir Naik terhadap Adun P Pinang selesai secara damai

Saman fitnah Zakir Naik terhadap Adun P Pinang selesai secara damai

Peguam mewakili Satees Muniandy berkata, saman itu diselesaikan tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh anak guamnya.

Dalam samannya, Zakir Naik mendakwa kenyataan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy mempersendakannya dan menggambarkannya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
KUALA LUMPUR:
Saman fitnah dikemukakan pendakwah Zakir Naik di Mahkamah Tinggi terhadap Adun Bagan Dalam Satees Muniandy selesai hari ini selepas pihak-pihak bersetuju agar penghakiman persetujuan direkodkan.

Peguam mewakili Satees, Shamsher Singh Thind berkata, saman itu diselesaikan tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh anak guamnya.

“Tiada juga perintah untuk kos,” katanya kepada FMT.

Di mahkamah terbuka hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Johan Lee Abdullah mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana mencapai penyelesaian tanpa perbicaraan diteruskan.

Zakir memfailkan saman terhadap Satees pada 2019 berhubung kenyataan Adun itu yang dipetik dalam laporan FMT bertajuk “DAP man blames LTTE crackdown on Zakir Naik’s presence”.

Satees turut disaman berhubung artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada tahun sama, yang melaporkan beliau berkata, pendakwah itu harus diusir dari Malaysia kerana mencadangkan bahawa rakyat Malaysia berbangsa India lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam samannya, Zakir mendakwa kenyataan Satees itu mempersendakannya dan menggambarkannya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Satees bersandar pada pembelaan komen berpatutan dan perlindungan bersyarat

Dijadualkan berlangsung selama tiga hari, perbicaraan yang bermula semalam, dengan Zakir memberikan keterangan, berlanjutan hingga esok.

Plaintif telah membariskan dua lagi saksi, manakala Satees dan seorang pegawai polis akan memberikan keterangan dalam pembelaannya.

Akberdin Abdul Kader dan Rafie Shafie mewakili Zakir selaku peguam, manakala Satees turut diwakili peguam A Srimurugan, Gunamalar Joorindanjn dan Tony Tian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.