
Joseph Ng (PH-Air Itam) berkata terdapat agensi kerajaan negeri yang membayar balik pinjaman daripada kerajaan negeri pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding terma asal.
“Ini adalah contoh ketara pengurusan pinjaman kewangan kerajaan (negeri) yang cuai,” katanya di sidang DUN hari ini.

Nga berkata terdapat satu agensi yang sepatutnya membayar RM623,000 setahun kepada kerajaan negeri untuk pinjaman yang diambil, tetapi mendakwa hanya membayar RM10 setahun.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama agensi tersebut.
Beliau juga berkata terdapat satu pinjaman RM33 juta kepada sebuah syarikat swasta dengan syarat bayaran balik 36 bulan tetapi belum dibayar lebih 10 tahun dengan alasan isu penempatan tanah belum diselesaikan.
“Ketua Audit Negara dalam tegurannya menyatakan bahawa kerajaan (negeri) perlu mengurangkan tunggakan hasil supaya kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan kukuh,” katanya.
“Kerajaan negeri tidak boleh menuding jari pada perbelanjaan pembangunan yang tinggi, tetapi tatakelola kewangan yang lemah harus diperbaiki seperti cukai yang tidak dikutip dan pinjaman tidak berbayar.”
Ng berkata defisit belanjawan berterusan Pulau Pinang sebahagiannya disebabkan oleh kelemahan kutipan hasil, seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2023, yang menunjukkan RM99.8 juta cukai tidak dikutip, termasuk RM72 juta tunggakan cukai tanah.
Beliau menggesa Ketua Menteri Chow Kon Yeow mendedahkan angka terkini berkaitan tunggakan cukai tanah dan tindakan yang diambil untuk menghentikan ketirisan ini.
Minggu lalu, kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2025 bernilai RM940.2 juta dengan unjuran defisit RM33.6 juta, paling rendah direkodkan, penurunan ketara berbanding RM514.5 juta tahun ini.
Namun, Ng berkata Pulau Pinang perlu mencontohi Selangor supaya negeri itu dapat membentangkan belanjawan lebihan pertamanya. Selangor mencatat lebihan berturut-turut sebanyak RM117 juta pada 2022 dan RM206 juta pada 2023.