
Hakim Akhtar Tahir memutuskan bahawa kenyataan dibuat Santiago, yang mencadangkan bahawa 12 individu ditangkap mengikut undang-undang pencegahan berikutan kritikan oleh Zakir berhubung dakwaan mereka mempunyai kaitan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), bersifat memfitnah terhadap pendakwah itu.
Beliau berkata, kenyataan Santiago ialah luahan pendapat yang hanya bersifat spekulatif dan belum disahkan.
“Oleh itu mahkamah memutuskan kenyataan yang dibuat oleh defendan (Santiago) sebagai fitnah terhadap plaintif (Zakir),” kata hakim yang membacakan alasan penghakiman ringkas hari ini.
Bagaimanapun, beliau memutuskan bahawa kenyataan itu tidak mencemarkan imej Zakir.
“Kenyataan itu sebenarnya telah menaikkan reputasi plaintif (Zakir) sebagai seorang yang berpengaruh di Malaysia,” katanya.
Dengan kedua-duanya hadir di mahkamah atas arahan hakim, Santiago memohon maaf kepada Zakir, dan beliau menerimanya. Bagaimanapun, hakim tidak mengarahkan Santiago membayar ganti rugi.
Aduan Zakir mengenai kenyataan kedua ditolak
Akhtar menolak satu lagi aduan oleh Zakir bahawa Santiago telah memfitnahnya dengan menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu, pimpinan Dr Mahathir Mohamad, untuk mempertimbangkan sama ada Zakir patut dibenarkan mengulas mengenai politik Malaysia.
Zakir, dalam ceramah yang disampaikannya di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos 2019, mempersoalkan kesetiaan orang Hindu Malaysia yang katanya lebih suka menyokong perdana menteri India berbanding perdana menteri Malaysia sendiri.
Beliau juga berkata, orang Cina Malaysia ialah “tetamu lama” yang harus kembali ke tanah leluhur mereka.
Dalam keputusannya, hakim berkata, kenyataan Santiago dibuat sebagai tindak balas kepada ceramah Zakir bertajuk “The misconception of Islam by the non-Muslims”.
Akhtar berkata, beliau menganggap kenyataan Santiago sebagai menyatakan kebimbangannya bahawa ia berpotensi mencetuskan rusuhan kaum dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia, menggunakan platform keagamaan.
“Topik itu sendiri tidak sesuai dalam konteks Malaysia kerana tiada apa-apa yang mencadangkan bahawa wujudnya salah faham yang meluas mengenai Islam dalam kalangan orang bukan Islam.
“Mahkamah merasakan bahawa ini topik yang tidak perlu dibahaskan,” katanya.
Akhtar berkata, apabila mengeluarkan kenyataan mengenai masyarakat Cina, Zakir telah menyelitkan rungutan peribadinya tentang permintaan agar beliau meninggalkan Malaysia.
“Mahkamah oleh itu bersetuju dengan kenyataan media Santiago bahawa kenyataan Zakir boleh menyebabkan ancaman kepada Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.
Akhtar memutuskan bahawa kenyataan Santiago bukan bersifat fitnah tetapi sebenarnya wajar dan adil.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos sendiri.
Akberdin Abdul Kader dan Rafie Shafie mewakili Zakir selaku peguam, manakala Santiago diwakili SN Fam dan Tan Tai Hwa.