Ada mahu pecah belah kami di P Pinang, kata Guan Eng, 9 Adun DAP

Ada mahu pecah belah kami di P Pinang, kata Guan Eng, 9 Adun DAP

Mereka menafikan dakwaan ada rancangan untuk menyekat Chow Kon Yeow menjadi ketua menteri untuk penggal kedua.

Tiga Adun DAP yang tidak dinamakan dilapor berkata mereka mahu Pengerusi DAP Lim Guan Eng (kanan) membuat kemunculan semula sebagai ketua menteri kerana tidak berpuas hati dengan prestasi Chow Kon Yeow. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Adun Air Putih Lim Guan Eng dan sembilan lagi Adun DAP Pulau Pinang mendakwa laporan media konon adanya rancangan untuk menyekat Chow Kon Yeow menjadi ketua menteri untuk penggal kedua adalah satu cubaan untuk memecahbelahkan parti.

Dalam kenyataan bersama, Lim dan sembilan lagi Adun itu menegaskan parti akan memutuskan calon untuk PRN akan datang dan juga jawatan ketua menteri.

“Kami tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian daripada objektif kami untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik,” kata mereka.

Selain Lim, kenyataan itu turut ditandatangani Lim Siew Khim (Sungai Pinang), Jason H’ng (Jawi), Heng Lee Lee (Berapit), Joseph Ng (Air Itam), Ong Ah Teong (Batu Lancang), Daniel Gooi (Pengkalan Kota), Chris Lee (Pulau Tikus), Satees Muniandy (Bagan Dalam) dan Syerleena Abdul Rashid (Sri Delima).

Semua Adun itu tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negeri. Lim adalah pengerusi DAP.

Terdahulu, Malaysiakini memetik tiga Adun DAP yang enggan dikenali mendakwa terdapat desakan dalaman untuk menyekat Chow menjadi ketua menteri untuk penggal kedua.

Laporan itu juga berkata Adun tidak berpuas hati dengan prestasi Chow dan mendesak agar Lim kembali.

Bagaimanapun, semua 10 Adun itu menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada mereka bercakap dengan Malaysiakini. Mereka juga mendakwa laporan tersebut sebagai “berniat jahat dan tidak adil” dan meletakkan mereka di bawah “syak wasangka awam yang tidak perlu”.

“Untuk mengaitkan laporan itu kepada kami adalah tidak benar dan palsu. Kami tidak dapat memastikan dari mana Malaysiakini mendapat maklumat yang tidak berasas ini,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.