Kementerian sukan tak paksa atlet berpakaian patuh syariah

Kementerian sukan tak paksa atlet berpakaian patuh syariah

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan akan menyokong atlet tanpa mengambil kira apa pilihan pakaian sukan mereka.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementeriannya hanya menggalakkan pemakaian patuh syariah, tetapi atlet bebas membuat pilihan sendiri. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan hanya menggalakkan, sebaliknya tidak akan memaksa mana-mana atlet agar berpakaian sukan patuh syariah ketika menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan akan menyokong atlet tanpa mengambil kira apa pilihan pakaian sukan mereka.

“Jika mereka pilih untuk berpakaian sukan patuh syariah, kami akan sokong mereka kerana pada akhirnya sumbangan mereka kepada negara adalah sangat besar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) jika kerajaan bercadang memperkenalkan pakaian sukan patuh syariah untuk semua aktiviti dan pertandingan sukan.

Shaharizukirnain berkata, syarikat seperti Nike ada mengeluarkan pakaian sukan patuh syariah.

Syed Saddiq berkata, atlet tahu mengenainya dan terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

“Mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka dan kita yakin rakyat Malaysia akan menyokong mereka tidak kira apa yang mereka pakai.”

Tahun lalu, Syed Saddiq mengkritik keputusan Terengganu melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri itu, dengan berkata kerajaan negeri pimpinan PAS perlu menghormati pilihan “wira dan wirawati” negara.

Pada 2015, gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dikritik sesetengah pihak kerana bertanding dengan pakaian sendat “leotard”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.