Kemelut ganjaran atlet para selesai

Kemelut ganjaran atlet para selesai

Speedmart salur RM107,000 terus kepada lima atlet Paralimpik Paris selepas isu kelewatan insentif cetus kontroversi.

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh menyerahkan tajaan khas kepada pemenang pingat emas Paralimpik Paris 2024 Cheah Liek Hou dalam satu majlis di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu ganjaran kemenangan atlet para negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 selesai, selepas 99 Speedmart tampil memberi sumbangan khas bernilai RM107,000.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata syarikat runcit iu menawarkan ganjaran tambahan secara terus kepada lima atlet negara yang meraih pingat di Paris, lapor Berita Harian.

Atlet terbabit adalah jaguh badminton para Cheah Liek Hou (emas), atlet powerlifting Bonnie Bunyau Anak Gustin (emas), atlet lompat jauh Abdul Latif Romly (perak), jaguh lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli (perak) dan pelari pecut Eddy Bernard (gangsa).

“Saya merakamkan penghargaan kepada 99 Speedmart kerana tampil menyalurkan ganjaran tambahan RM35,000 bagi emas, RM15,000 untuk perak dan RM7,000 untuk gangsa.

“Ia pengiktirafan kepada jasa dan kejayaan atlet kita,” katanya.

Kontroversi itu tercetus apabila Cheah meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial mengenai kelewatan pembayaran insentif, yang kemudian mengundang reaksi keras Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Badan itu malah mengancam tindakan undang-undang serta menggantung penyertaan atlet berkenaan, sebelum dibantah Kementerian Belia dan Sukan.

Yeoh berkata bagi mengelakkan insiden sama berulang, satu templat kontrak standard di bawah program Road to Gold (RTG) sudah diserahkan kepada MPM untuk dijadikan panduan penajaan masa hadapan.

“MSN juga akan mengingatkan semua atlet podium supaya menggunakan templat ini demi melindungi diri mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.