
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Rizan Hassan berkata KBS telah memainkan peranan penting itu sejak 1960-an yang tugasnya lebih terserlah kini apabila kerajaan menumpukan kepada bidang terbabit.
“KBS telah menunjukkan komitmen tinggi melalui strategi menyeluruh, namun kini perlu ada sinergi lebih besar antara kerajaan, industri, NGO belia dan komuniti setempat.
“Belia Mahir percaya TVET bukan sekadar laluan kerjaya alternatif, tetapi teras ekonomi negara.
“Dengan memperkukuh bidang seperti AI, TVET Sukan dan e-sukan, Malaysia berpotensi melahirkan generasi belia berkemahiran tinggi, berdaya saing global dan bersedia menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada FMT.
Rizan turut menyambut baik pembangunan modal insan di bawah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan menambah bidang TVET seperti dalam bidang pembinaan dan penyelenggaraan fasiliti sukan, permotoran sukan dan fotografi sukan.
Sebelum ini, Yeoh berkata KBS akan mentransformasikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat kepada Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) sebagai peneraju bidang teknologi sukan di Malaysia.
KBS turut memperkasakan TVET dengan penekanan kepada kecerdasan buatan (AI) untuk tenaga pengajar.
Mengulas lanjut, Rizan mencadangkan beberapa langkah untuk memperkasakan inisiatif TVET antaranya mewujudkan pusat hab industri bagi menjalinkan kerjasama langsung bersama syarikat teknologi, permotoran sukan dan sektor swasta.
Beliau juga mencadangkan TVET dalam sukan diperluas kepada fisioterapi sukan, analisis prestasi, pengurusan acara dan e-sukan untuk membuka peluang pekerjaan baharu.
“Bekas atlet perlu diberi ruang dalam penyediaan modul pembelajaran dan latihan praktikal bagi memindahkan pengalaman mereka kepada generasi baharu.
“Selain itu, tawar penajaan, elaun atau pembiayaan untuk belia yang menyertai program TVET berasaskan AI serta sukan supaya tiada bakat ketinggalan akibat kekangan kewangan,” katanya.