
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor dipetik Bernama berkata mayat Firdaus Hanif, 43, telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari kedua pada hari ini telah dihentikan pada pukul 5 petang tadi,” kata beliau.
Pelakon itu yang turut dikenali sebagai Pitt Haniff dilaporkan menaiki bot fiber dengan seorang rakannya sebelum terbalik menyebabkannya dibawa arus deras.
Rakannya ditemui dalam keadaan selamat semalam.

Firdaus adalah anak kepada pelakon Fauziah Nawi.
Dalam pada itu, Fauziah dipetik BH Online mengesahkan Pitt Hanif ditemui lemas di Sungai Jelai, dekat Kampung Mela.
Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Mohd Fauzi Nawi yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
“Saya dimaklumkan jenazah ditemui dalam keadaan yang sangat elok. Terima kasih yang mendoakan dan berusaha mencari anak saya,” katanya menerusi Facebook Live sebentar tadi.