Jangan politikkan perjanjian perdagangan baru, kata Rafidah

Jangan politikkan perjanjian perdagangan baru, kata Rafidah

Malaysia akan berada pada kedudukan penting sekiranya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau diratifikasi.

Bekas menteri perdagangan antarbangsa dan industri Rafidah Aziz.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz memberi amaran supaya cadangan satu perjanjian baru tidak dipolitikkan kerana ia penting kepada Malaysia berikutan perubahan trend dalam perdagangan dunia.

Bercakap mengenai cadangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Rafidah berkata, Malaysia akan berada pada kedudukan penting sekiranya perjanjian itu diratifikasi.

“Malangnya sepanjang satu dekad lepas, saya mengesan inisiatif di peringkat sub-serantau dan hubungan pelbagai hala dipolitikkan,” katanya kepada hadirin pada majlis Perbincangan Isu Nasional Kedua bertajuk “Masa Depan Malaysia” di Universiti HELP di sini.

Rafidah memberi contoh kegagalan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menurut beliau, akan menguntungkan Malaysia dari segi eksport beberapa industri, termasuk tekstil dan pakaian, industri berasaskan getah dan komponen automotif.

Perjanjian melibatkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat itu ditandatangani pada 4 Feb 2016, tetapi gagal diratifikasi dan tidak dilaksanakan.

“Sekarang dengan RCEP, saya berharap ia tidak dipolitikkan lagi. Ia satu cara bagi membolehkan kita mengambil tempat di rantau gergasi ini,” katanya.

Katanya, cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu akan menjadi blok ekonomi terbesar di dunia.

RCEP dicadangkan dalam kalangan semua 10 negara anggota Asean, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta enam rakan kongsi FTA iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Rafidah berkata, perbuatan mempolitikkan RCEP dengan mengutarakan kebimbangan tentang kedaulatan kerajaan akan menyekat peluang Malaysia menyertai blok perdagangan itu dengan jayanya.

“Ia akan menyekat kita. Orang lain akan datang dan mengambil tempat kita. Mereka boleh bergerak tanpa kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.