Di bawah ART, syarikat AS diberi status Bumiputera, dakwa Dr M

Di bawah ART, syarikat AS diberi status Bumiputera, dakwa Dr M

Bekas PM berkata, menerusi ART, Malaysia akan terpaksa beli barangan AS dan benar Washington pengaruhi dasar dagangan negara.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad sifatkan ART suatu ‘pengkhianatan terhadap kemerdekaan Malaysia’.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa, syarikat-syarikat Amerika Syarikat secara berkesan telah diberikan taraf Bumiputera di bawah satu perjanjian perdagangan timbal balas yang ditandatangani Malaysia dan AS, menyifatkannya sebagai ‘suatu pengkhianatan terhadap kemerdekaan Malaysia”’

“Kesannya adalah semua syarikat AS secara hakikatnya telah memperoleh taraf Bumiputera di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani oleh perdana menteri,” katanya.

“(Syarikat-syarikat itu) diberikan keistimewaan Bumiputera. AS dapat keistimewaan Bumiputera,” katanya pada sidang media.

Mahathir berkata, menerusi ART, Malaysia akan terpaksa membeli barangan dari AS dan membenarkan Washington mempengaruhi dasar perdagangan Malaysia pada masa akan datang.

“(Hakikatnya) seluruh negara kita diserah kepada AS (disebabkan ART),” katanya.

“Kita terpaksa patuhi perjanjian ini, yang paksa kita beli barangan bernilai berbilion-bilion dari AS. Kita mesti beli gas dari AS, mesti beli pesawat dari AS. Enam puluh pesawat Boeing akan dibeli di bawah urus niaga ini. Ini bermakna kita tidak lagi bebas.”

Beliau menyifatkan pakatan itu sebagai ‘berat sebelah’ dan menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal merujuk Parlimen atau pakar undang-undang sebelum menandatanganinya.

Anwar sebelum ini menyangkal dakwaan bahawa perjanjian perdagangan tersebut menjejaskan kedaulatan negara, menyatakan bahawa Malaysia boleh menamatkan perjanjian itu sekiranya perlu.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat pada 30 Okt, perjanjian perdagangan yang ditandatangani bersama Presiden AS Donald Trump telah disemak dengan rapi oleh pegawai kanan kerajaan bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.

Jabatan Peguam Negara turut menyatakan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara kekal terlindung sepenuhnya, memandangkan pelaksanaan kewajipan dan komitmen negara di bawah perjanjian tersebut tertakluk kepada undang-undang domestik serta prosedur yang terpakai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.