Perjanjian perdagangan dengan AS bukan tindakan tergesa-gesa, kata Tengku Zafrul

Perjanjian perdagangan dengan AS bukan tindakan tergesa-gesa, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata kerajaan perlu segera meterai perjanjian itu bagi elak kemerosotan pelaburan.

Tengku Zafrul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia merupakan negara paling berisiko di rantau ini berikutan kebergantungan tinggi terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bukanlah tindakan tergesa-gesa,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata kerajaan perlu segera memeterai perjanjian itu bagi mengelakkan kemerosotan pelaburan sekiranya tarif 25% dikenakan oleh AS.

Jelasnya, Malaysia merupakan negara paling berisiko di rantau ini berikutan kebergantungan tinggi terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Mudah (untuk) tuduh kerajaan gelojoh selepas risiko terbesar telah berjaya dikurangkan. Yang sukar adalah membuat keputusan ketika pistol tarif 25% sudah diacu kepada ekonomi kita.

“Pelabur sedang membandingkan sama ada mahu kekal di Malaysia atau pindah ke Vietnam, Thailand dan Mexico,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) kementerian itu di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul berkata kesan kumulatif terhadap ekonomi jika tidak menandatangani ART boleh mencecah ratusan bilion ringgit, selain mengancam ratusan ribu pekerjaan di kawasan perindustrian utama seperti Kulim, Bayan Lepas, Batu Kawan, Pasir Gudang, Senai dan Shah Alam.

Beliau juga berkata pada 2020 hingga 2024, eksport Malaysia ke AS hampir RM200 bilion dan 60% daripadanya adalah produk E&E dan semikonduktor.

“Analisis bersama Bank Negara Malaysia, Miti, Mida, Matrade dan pakar luar menunjukkan tanpa ART, pertumbuhan KDNK boleh susut hampir 1.2 mata% setahun, iaitu lebih kurang RM30 bilion.

“Lebih 7,000 PKS dalam rantaian bekalan syarikat teknologi kita terdedah. Sebab itu melalui ART, kita pastikan tarif ditetapkan pada 19%, bukan 25% atau lebih,” katanya.

Tengku Zafrul juga turut menolak cadangan supaya Malaysia menunggu pendirian Asean terlebih dahulu kerana solidariti serantau tidak boleh dijadikan alasan mengorbankan kepentingan ekonomi domestik.

“Kita tidak boleh gadaikan nasib pekerja di Kulim, Bayan Lepas atau Pasir Gudang hanya kerana mahu menunggu foto kelihatan tegas di pentas serantau,” katanya.

Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS pada Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Di bawah perjanjian itu, AS akan mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu menikmati tarif sifar (0%) di bawah senarai rakan perdagangan sejajar.

Malaysia pula komited untuk memberi akses pasaran istimewa kepada eksport barangan industri AS serta tidak mengenakan larangan atau kuota ke atas eksport mineral kritikal atau nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.