Semua orang suka makan aiskrim, lebih-lebih lagi kalau pada waktu tengah hari dengan cuaca panas.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh saintis dari negara matahari terbit, Jepun, mencadangkan bahawa memakan aiskrim untuk sarapan pagi dapat membantu meningkatkan kecerdasan dan prestasi mental seseorang.
Dalam bahasa mudah, mengambil aiskrim ketika sarapan adalah baik untuk minda.
Sudah tentu mereka yang menggemari makanan sejuk ini akan berasa gembira dan bahagia.
Menerusi kajian yang dilakukan oleh seorang profesor di Tokyo’s Kyorin University, Yoshihiko Koga, beberapa ujian klinikal dilakukan ke atas sebilangan individu sukarelawan di mana mereka dikehendaki memakan aiskrim sebaik sahaja bangun dari tidur.
Selepas itu, mereka perlu melakukan beberapa ujian mental menerusi komputer.
Manakala, terdapat satu lagi kumpulan turut perlu melakukan beberapa ujian mental yang sama.
Tetapi apa yang membezakan adalah mereka tidak perlu memakan aiskrim.
Hasil keputusan menunjukkan kumpulan yang memakan aiskrim akan bertindak balas dengan lebih pantas dan memiliki keupayaan untuk memproses maklumat dengan lebih baik.
Tahap kewaspadaan
Melalui penelitian dan pemantau aktiviti otak menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan gelombang alpha frekuensi tinggi (high-frequency alpha waves) yang dikaitkan dengan peningkatan tahap kewaspadaan dan mengurangkan kerengsaan mental.
Bagi mendapatkan kepastian sama ada tindak balas kejutan yang berlaku dalam otak adalah disebabkan suhu rendah aiskrim, sekali gus meningkatkan kewaspadaan otak, Profesor Koga mengulangi ujian dengan menggunakan air sejuk.
Individu yang terlibat dalam ujian air sejuk ini menunjukkan peningkatan tahap kewaspadaan dan kemampuan mental.
Cuma peningkatan itu adalah rendah berbanding dapatan ujian menggunakan aiskrim.
Tidak digalakkan
Bagaimanapun, menurut Penyelidik Doktor Falsafah Psikologi Nutrisi di Reading University, Katie Barfoot, “Penjelasan yang mudah kepada peningkatan kewaspadaan ini adalah antara memakan sarapan pagi atau tidak.”
“Otak kita memerlukan glukosa untuk berfungsi dan memakan makanan yang mengandungi glukosa tinggi sudah tentu dapat membantu meningkatkan kapasiti mental jauh lebih baik berbanding otak yang ‘berpuasa’,” jelasnya.
Beliau menyarankan supaya terdapat penyelidikan yang mengkaji tindak balas makanan tinggi glisemik indeks (GI) dan melakukan perbandingan, sudah tentu akan dapat mewujudkan pemahaman yang lebih baik berkaitan dengan kemampuan otak ini.
Memakan aiskrim sememangnya satu perkara yang membahagiakan.
Namun sebaiknya, anda tidak mengambilnya secara berlebihan terutama jika anda ingin memakannya saat bersarapan.
Ini kerana makanan yang tinggi kandungan gula adalah tidak baik untuk badan.
Ia boleh menjadi punca masalah kesihatan seperti obesiti disebabkan oleh lebihan gula yang disimpan sebagai lemak.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]