
Ini susulan kritikan Hishammuddin semalam mempersoalkan lanjutan dalam pembentangan kertas putih pertahanan.
“Sabarlah. Kertas putih bukan macam karangan biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Apabila ditanya, sama ada pembentangan dokumen itu akan tertangguh lagi, belau menafikan.
“Tak, tak ‘delayed’ (tangguh),” katanya.
Semalam, Hishammuddin membidas kelewatan pembentangan kertas putih pertahanan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Apabila ditanya apakah rancangan Kementerian Pertahanan, jawapannya mudah: tunggu kertas putih pertahanan,” kata Hishammuddin, bekas naib presiden Umno.
Kata Hishammuddin, Mohamad telah berjanji untuk membentangkan dokumen itu sebanyak enam kali, termasuk ketika berucap pada perhimpunan bulanan Mindef pada 14 Okt, mengatakan ia akan dibentangkan pada Dis.
“Jadi mari kita tunggu untuk melihat apakah kertas putih akan dibentangkan kali ini, ” kata Hishammuddin semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, dalam konteks aset pertahanan, ia akan mengambil masa dan pengganas tidak akan menunggu kertas putih.
Mohamad sebelum ini berkata kertas putih itu kini berada di “peringkat akhir”.