2 pingat di ACC berbaloi, kata Raja Pecut Asia Azizulhasni

2 pingat di ACC berbaloi, kata Raja Pecut Asia Azizulhasni

Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang berkata pencapaian satu emas dalam acara pecut yang juga kejuaraan ke-10 di peringkat Asia dan pingat perak dalam acara keirin adalah satu yang membanggakan buat dirinya.

Mohd Azizulhasni Awang meraikan kemenangan pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 pada 21 Okt. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Kemenangan dua pingat di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2020 di Korea Selatan berbaloi selepas melalui pelbagai rintangan sebelum menyertai kejohanan itu.

Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang berkata pencapaian satu emas dalam acara pecut yang juga kejuaraan ke-10 di peringkat Asia dan pingat perak dalam acara keirin adalah satu yang membanggakan buat dirinya.

Empat minggu sebelum kejohanan berkenaan, pelumba berusia 31 tahun itu mengalami retak tulang jari telunjuk tangan kanannya ketika sesi latihan dan perlu menjalani pembedahan kecil.

Ketika dalam perlumbaan acara keirin pula, beliau mengalami kemalangan dengan pelumba India dan sedikit menjejaskan kayuhannya serta terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara berkenaan.

“Saya bersyukur dengan kemenangan peribadi yang ke=10. Kalau ikutkan empat minggu lepas saya terlibat dalam kemalangan ketika latihan dan terpaksa menjalani pembedahan.

“Walaupun sekadar pembedahan kecil tapi proses pemulihan agak sukar kerana susah hendak menggenggam ‘handle’ basikal. Latihan agak terganggu sikit tapi saya redha saja. Bila tiba di sini, saya terlibat dengan kemalangan pula dalam acara keirin selepas berlanggar dengan pelumba India.

“Masa saya kalah sprint pusingan pertama, saya cari sesuatu juga untuk mencipta kemenangan sebab saya dah terlepas pingat emas acara keirin. Yang pasti perlumbaan final itu perlu mental kuat,” katanya ketika ditemui di KLIA2 sejurus tiba dari Korea Selatan.

‘The Pocket Rocketman’ berkata tiga lagi siri Piala Dunia bakal dihadapi iaitu di Hong Kong, New Zealand dan Brisbane untuk mengekalkan mata ranking yang dikumpul untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Azizulhasni membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gelaran juara Asia ke-10 selepas mengungguli acara pecut lelaki individu.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon pada Isnin, Azizulhasni menewaskan pelumba Jepun Yuta Wakimoto 2-1.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.