Marhamah jawab dakwaan tabung ‘Justice for Zara’, tipu emas

Marhamah jawab dakwaan tabung ‘Justice for Zara’, tipu emas

Timbalan menteri hal ehwal agama berkata kutipan dana itu dapat permit Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada polis Sabah, selain nafi jadi ejen berkait emas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, berkata tabung ‘Justice for Zara’ mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Zara Qairina Mahathir, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli menegaskan tiada dana disalah guna dalam pengurusan akaun ‘Tabung Justice for Zara’ bagi menampung kos proses inkues.

Selaku aktivis yang memulakan gerakan itu, beliau berkata akaun tabung berkenaan diasing sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun lain NGO yang pernah dipengerusikannya. Sebaliknya, tabung itu mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Zara Qairina Mahathir, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.

Katanya, setakat 9 pagi hari ini, jumlah kutipan tabung berkenaan adalah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan, termasuk kos pengangkutan, dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.

“…sepanjang proses inkues ini kami melibatkan beberapa saksi pakar, jadi kos pengangkutan dan penginapan mereka menggunakan tabung ini. Begitu juga kos pengangkutan dan penginapan keluarga Zara Qairina untuk menghadiri mesyuarat dan persiapan inkues turut ditanggung menggunakan tabung ini,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.

Marhamah berkata, kutipan dana itu mendapat permit Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada polis Sabah, selain laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.

“Kami memang bersedia untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk diaudit),” katanya, sambil menambah baki dana sedia ada dijangka tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan.

Sebelum ini, Marhamah antara individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara, yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Zara yang juga pelajar Tingkatan Satu sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah tersebut.

Mengulas pendiriannya berhubung tuntutan keadilan kes Zara Qairina, Marhamah menegaskan keperluan untuk semua pihak memberi ruang kepada proses inkues yang sedang berjalan dan pada masa sama, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap keluarga pelajar berkenaan meskipun kini memegang jawatan dalam kerajaan.

“Saya sebagai seorang ibu kepada enam anak dan juga ahli masyarakat, sentiasa ingin berjuang dalam apa sahaja soal penindasan. Bukan hanya dalam kes ‘Justice for Zara’, tetapi juga perkara lain,” katanya.

Mengenai dakwaan beliau terlibat penipuan melibatkan emas yang tular di media sosial, Marhamah menafikan perkara itu. Sebaliknya, beliau memaklumkan dirinya turut menjadi mangsa penipuan serta dikhianati dalam kes berkenaan.

“Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami membuat laporan dan saya sentiasa memberi kerjasama penuh,” kata aktivis dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.