
Menurut penghuni yang mahu dikenali sebagai Firdaus, kerja pembinaan berlaku terlalu rapat dengan kondominium Metropolitan Square.
Dia memberitahu FMT, ramai penduduk terganggu dengan bunyi kren dan bunyi ketukan yang kuat pada awal pagi.
“Saya perlu turun dan memarahi pekerja pembinaan setiap hari semata-mata meminta mereka hentikan kerja mereka dan membolehkan orang tidur,” katanya.
Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menyatakan kerja pembinaan hanya boleh dilakukan dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, Isnin hingga Sabtu dengan pengecualian pada cuti umum.
Tetapi Firdaus berkata kerja pembinaan kadang-kadang bermula jauh lebih awal daripada 8.00 pagi dan terus melepasi waktu yang ditetapkan. Dia berkongsi beberapa klip video dia memarahi pekerja pembinaan yang membuat bising kira-kira jam 4 pagi, dan berkata terdapat video lain yang menunjukkan kerja berterusan selepas jam 6.00 petang.
Katanya, jarak tapak pembinaan dan kondominium itu adalah masalah.

Kriteria penilaian kesan alam sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar menyatakan kerja pembinaan tidak boleh dilakukan terlalu dekat dengan unit kediaman untuk mencegah pencemaran bunyi.
Menurut pelan pembinaan yang dikongsi Firdaus, kerja pembinaan lebuh raya dilakukan sekurang-kurangnya 14m dari kawasan kediaman.
Bagaimanapun, hasil tinjaun secara lebih dekat mendapati beberapa ceracak hanya beberapa kaki dari salah satu blok kondominium.
Firdaus berkata kesesakan lalu lintas adalah satu lagi masalah yang menjadi kebimbangan penduduk, dengan jalan berbonggol pada kebanyakan hari bekerja.
“Anda tidak boleh pergi sejauh lebih 5km dalam masa sejam di sini,” katanya.
Ketika hujan, katanya, pemanduan makin sukar kerana jalan raya dilimpahi banjir.

Pemilik restoran di kawasan itu yang mahu dikenali sebagai William berkata perniagaannya juga terjejas akibat bunyi bising dan habuk pembinaan.
Dia berkata salah satu ceracak lebuh raya yang didirikan berdekatan dengan restorannya, yang didakwa menjejaskan perniagaannya.
“Penyewa terdahulu menutup kedainya kerana perniagaan semakin teruk.
“Saya baru saja memulakan perniagaan di sini, dan saya boleh katakan pencemaran dan parkir kereta adalah masalah disebabkan pembinaan ini,” katanya.
William berharap keadaan itu akan menjadi lebih baik apabila pembinaan selesai, tetapi bimbang parkir kereta akan menjadi isu.
Tanah di Damansara Perdana di mana lebuh raya sedang dibina dimiliki Saujana Triangle, anak syarikat MK Land. Lebuh raya itu secara keseluruhannya dimiliki Prolintas.
Menurut Firdaus, harga hartanah juga terjejas oleh pembinaan lebuh raya itu.
“Sebelum pembinaan, unit berharga RM500,000 hingga RM600,000.
“Sekarang, nak jual sekurang-kurangnya RM300,000 pun payah,” katanya.
Sebelum pembinaan bermula, katanya, dia mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk mengumpul tandatangan memorandum bagi membantah pembinaan lebuh raya itu tetapi tidak berhasil.
“Sekurang-kurangnya mereka boleh memberi pampasan kepada kami demi masalah kami kerana tidak ada cara lain untuk menghentikan pembinaan sekarang.”