
Pengurus pasukan, Firdaus Hashim berkata, sasaran dua emas berkenaan adalah dalam permainan Dota 2 dan Hearthstone, manakala satu perak dan tiga gangsa lagi dalam empat permainan lain iaitu Starcraft II, Mobile Legends:Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.
Beliau berkata Malaysia bakal menghantar 24 pemain termasuk tiga pemain simpanan dalam enam permainan berkenaan dan menunggu keputusan rayuan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menambah seorang lagi peserta.
Peserta tambahan tersebut dalam permainan Tekken 7 iaitu Abdul Rahim Abdul Shukor yang muncul naib juara kejohanan kelayakan e-sports kebangsaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah di Orange Esports Cyber Cafe, Wangsa Maju di sini.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata kesemua 24 peserta berkenaan dipilih daripada kejohanan kelayakan kebangsaan yang berlangsung pada Mei lalu.
Sebagai rekod, sukan e-sports dijadikan sebagai acara pertunjukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, sebelum sah dipertandingkan sebagai salah satu acara daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019.
Sukan SEA 2019 bakal berlangsung dari 30 Nov sehingga 11 Dis ini di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic.