
Tinjauan FMT mendapati, belum ada sebarang perkembangan atau kerja menaik taraf bangunan bekas Hotel Carlton di Seksyen 13 yang dirancang untuk dibangunkan sebagai pusat itu.
Kawasan sekitar bangunan dipenuhi semak-samun, sampah dan kesan vandalisme, selain pintu kaca pecah serta saluran air terbuka yang menimbulkan risiko keselamatan.
Keadaan bahagian dalam bangunan turut uzur dengan air bertakung, siling runtuh dan kemudahan asas rosak, manakala beberapa ruang kelihatan tidak diselenggara sejak sekian lama.

Beberapa papan tanda lama hotel masih kelihatan di luar bangunan, selain papan tanda Majlis Sukan Negeri Selangor.
Sebagai rekod, Amirudin mengumumkan kerajaan negeri akan mengubah suai Hotel Carlton untuk dijadikan Gedung E-Sports Selangor dengan peruntukan RM1 juta.
Mengumumkan cadangan itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 November tahun lalu, beliau dipetik berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.
Inisiatif untuk membina ekosistem serta fasiliti sukan seperti Gedung E-Sports Selangor itu adalah mengambil inspirasi kejayaan Selangor Red Giants (SRG) mengalahkan Falcons AP Bren Sport 4-2 dalam pertandingan Mobile Legends Bang Bang 2024.
Bagaimanapun, Amirudin dalam pengumumannya tidak menyatakan tempoh kemudahan itu akan siap.
FMT telah menghubungi Amirudin dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, Pemangku Presiden Esports Selangor Association, Mohd Hafis Khairulah, berkata pihaknya tidak dimaklumkan perancangan dan perkembangan projek tersebut.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kelewatan merealisasikan projek itu berisiko menjejaskan usaha menggilap bakat tempatan kerana pemain berbakat di peringkat daerah sukar diketengahkan tanpa pusat latihan berpusat.
“Fasiliti fizikal diperlukan bagi melatih dan membentuk pemain secara berpusat supaya mereka dapat digilap menjadi atlet profesional,” katanya.