Mahkamah dengar permohonan Rosmah periksa barang disita 29 Nov

Mahkamah dengar permohonan Rosmah periksa barang disita 29 Nov

Antara barang yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata serta 306 beg tangan.

Pada 3 Sept Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk mendapatkan gambar dan memeriksa barang secara fizikal berikutan beliau adalah pihak ketiga yang berkepentingan ke atas harta yang disita oleh SPRM.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 29 Nov depan untuk mendengar permohonan Rosmah Mansor bagi mendapatkan gambar dan memeriksa barangan yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dari sebuah premis milik OBYU Holdings Sdn Bhd.

Antara barang yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata serta 306 beg tangan, manakala wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi disita pada 31 Jan 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov 2018.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan peguam Iskandar Shah Ibrahim, mewakili Rosmah.

Mahkamah memerintahkan kesemua pihak memfailkan afidavit masing-masing dalam tempoh seminggu sebelum tarikh pendengaran.

Terdahulu, Iskandar Shah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan gambar dan memeriksa barang secara fizikal berikutan beliau adalah pihak ketiga yang berkepentingan terhadap harta itu.

“Pada prosiding sebelum ini (3 Sept), pihak kami hadir ke mahkamah sebagai pihak ketiga bagi menuntut harta yang disita oleh SPRM,” katanya.

Pihak pendakwaan selaku pemohon memfailkan notis pelucutan hak ke atas aset dan wang tunai yang disita dari Obyu Holdings Sdn Bhd dan menamakan syarikat itu sebagai responden.

Rosmah kemudiannya memohon menjadi pihak ketiga dalam kes pelucutan harta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.