Lelaki didakwa halang kakitangan MPSJ tangkap anjing

Lelaki didakwa halang kakitangan MPSJ tangkap anjing

Majistret membenarkan Koh Tat Meng diikat jamin RM1,000.

Koh Tat Meng dan isterinya, Diong Mei Li hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Lelaki yang cuba campur tangan dalam penangkapan seekor anjing oleh kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menghalang pegawai menjalankan tugas mereka.

Koh Tat Meng didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya di luar pangsapuri Vista Millennium di Puchong, Selangor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Majistret M Barath membenarkan Koh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Koh yang ditemani isterinya, Diong Mei Li, diwakili peguam Rajesh Nagarajan.

Rajesh memberitahu FMT, anak guamnya hanya merayu kakitangan itu mengasihani anjing itu.

“Jika anda lihat video itu, pegawai MPSJ yang bertindak kejam terhadap anjing itu.”

Video kejadian itu yang diambil Diong dan tersebar di media sosial menunjukkan beberapa kakitangan MPSJ menangkap seekor anjing, ketika Koh cuba campur tangan.

Seorang pegawai itu dirakam menekan Koh ke sebuah kereta, selepas dia menyebut nama Nabi Muhammad beberapa kali.

Koh kemudian berkata, dia tidak berniat menghina Islam, tetapi sekadar meminta kakitangan MPSJ menunjukkan belas kasihan terhadap anjing itu.

Kerajaan Selangor yang kesal dengan tindakan kakitangan itu, berkata prosedur perlu dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan anggota pihak berkuasa tempatan.

Wakil daripada persatuan hak asasi haiwan dan orang ramai memegang plakad untuk menyokong Koh Tat Meng.

Kes itu turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang kesal dengan layanan ke atas anjing itu.

Rajesh berkata, polis belum menyiasat kakitangan MPSK itu, walaupun Koh sudah membuat laporan polis minggu lalu.

Katanya, Koh sudah menghubungi mereka beberapa kali untuk memberi keterangan, tetapi ditolak polis.

Dia sebaliknya mempersoalkan kurang tindakan oleh Presiden MPSJ, Noraini Roslan dan Peguam Negara, Tommy Thomas serta menggesa Noraini meletak jawatan.

“Adakah peguam negara melihat hakikat anak guam saya diserang? Adakah beliau sedar kakitangan MPSJ tidak mematuhi prosedur operasi standard dan anak guam saya masih didakwa, sedangkan kakitangan yang melakukan tindakan kejam ini bebas?”

Dia turut mengecam Lembaga Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia mendiamkan diri berhubung isu itu dan mempersoalkan kewibawaannya untuk menyokong hak asasi haiwan di negara ini.

Wakil daripada persatuan hak asasi haiwan dan orang ramai turut hadir untuk memberi sokongan kepada Koh dengan membawa plakad tertera “MPSJ kejam”, “Keadilan bagi Bruno Puchong” dan “Undur presiden MPSJ”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.