
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan itu berkata mungkin ada salah faham antara kedua-dua pihak dan memberi jaminan akan menyelesaikan perkara itu secara berhemah.
“Mohon maaf atas insiden berlaku.
“Setakat ini kita belum ada satu prosedur operasi standard yang jelas bagaimana tindakan diambil pihak penguatkuasa terhadap premis yang tidak berlesen.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden sedemikian daripada berulang,” katanya pada sidang media.
Ng berkata pihaknya juga akan mempertimbang cadangan penggunaan kamera badan ketika operasi oleh pihak berkuasa tempatan pada masa akan datang.
“Kita akan semak dan libat urus dengan semua PBT dulu sebelum sebarang keputusan diambil (cadangan penggunaan kamera badan). Kita perlu meneliti kebaikan dan kekurangannya,” katanya.
Khamis lepas, penyanyi rap tempatan Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen membuat beberapa hantaran di platform media sosial X menuduh anggota penguat kuasa merakam videonya ketika beliau hanya bertuala.
Zamaera berkata, beliau berada di dalam sebuah bilik di pusat urut apabila beberapa lelaki dipercayai anggota penguat kuasa MBSJ memasuki premis itu.
Penyanyi itu turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan telah menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013.